SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini untuk mendapatkan semua pasportnya untuk ke luar negara. 

Peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal ketika ditemui memberitahu, Hakim, Datuk Mohd. Yazid Mustafa membenarkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendapatkan semula pasportnya yang ditahan susulan pendakwaan terhadapnya berhubung kes rasuah berkaitan projek Visa Luar Negara (VLN).

Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memaklumkan permohonan sama dibuat anak guamnya itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada minggu lepas.

“Kebenaran ini tidak menangguhkan tarikh perbicaraan sedia ada, sebaliknya beliau akan mendapatkan rawatan selepas perbicaraannya,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zaidi menambah kebenaran untuk ke luar negara tertakluk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada petang ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid memohon pasportnya dikembalikan semula bagi membolehkan beliau ke luar negara untuk mendapatkan rawatan masalah slip disc yang dialaminya di Jerman.about:blank

Perbicaraan beliau sebelum ini tertangguh kerana menerima rawatan di Hospital Avisena di sini akibat sakit belakang, namun bersambung semula pada 28 September lalu.

Mohd. Yazid sebelum ini turut menetapkan perbicaraan Ahmad Zahid diteruskan selama lima hari pada 22 Oktober, 18 hingga 19 November dan 20 hingga 24 Disember.

Ahmad Zahid yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2013 hingga 2018 itu berhadapan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menerima suapan berjumlah S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017. -UTUSAN ONLINE