Walaupun dilengkapi dengan perbagai persenjataan canggih, negara haram Israel tetap takut walaupun dengan perkuburan pejuang syahid berhampiran Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmaqdis.

Akibat bimbang dihantui jenazah pejuang syahid Palestin, Israel mengambil langkah memusnahkan Tanah Perkuburan Al Yusufiye menggunakan jentera berat.

Menurut laporan agensi berita Anadolu, penduduk Palestin memaklumkan sejumlah tulang ditemukan semasa operasi memusnahkan kawasan tanah perkuburan itu.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perlindungan Tanah Perkuburan Islam, Ahmed al-Dajani, berkata mahkamah Israel memberi kebenaran kepada Direktorat Arkeologi untuk melakukan kerja-kerja di tapak berhampiran tanah perkuburan itu.

Tambah beliau, antara kubur yang dimusnahkan adalah tempat persemadian penduduk Islam yang terkorban dalam konflik antara tahun 1948 dan 1967.

Beliau menegaskan Israel akan berdepan tindakan undang-undang sebagai reaksi balas terhadap perbuatan memusnahkan kubur berkenaan.

Menurut Ahmed, Israel merancang untuk membina sebuah taman berhampiran tanah perkuburan itu.

Tanah Perkuburan Al-Yusufiye yang terletak bersebelahan tembok mengelilingi kota lama adalah satu daripada tanah perkuburan Islam tertua di Baitulmaqdis.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Baitulmaqdis cuba memusnahkan tangga bersejarah menuju ke kota lama dan Masjid Al-Aqsa, namun, langkah itu dihalang oleh penduduk Palestin.

Tamat