Program kitar semula minyak masak dapat membantu menjaga ekosistem dan kelestarian alam disamping turut menjana pendapatan sampingan.

Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masyarakat perlu diberikan kesedaran dan tindakan yang betul dalam kalangan masyarakat mengenai proses mengitar semula bahan terpakai itu.

Beliau berkata bagi menjayakan usaha itu, kempen edaran maklumat perlu diperluaskan khususnya di kawasan kediaman, restoran, pasar malam, dewan makan asrama sekolah dan sebagainya.

Menurutnya, pembuangan minyak masak terpakai ke dalam longkang merupakan masalah global yang mencetuskan pelbagai kesan buruk khususnya menyebabkan longkang tercemar, tersumbat, kotor serta busuk sekali gus boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.

“Malah, pencemaran longkang ini juga menjadi permulaan kepada masalah-masalah lain seperti sistem pembetungan tersumbat, pencemaran laluan dan limpahan air sisa dari sistem pembetungan dan boleh mengakibatkan banjir kilat.

“Jika pembuangan sisa minyak masak (terpakai) ini tidak diurus dengan baik dan secara berterusan, kita (kerajaan) akan memerlukan kos yang sangat tinggi untuk penyelenggaraan semula longkang dan sistem pembetungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Eko-Komuniti iaitu satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh FatHopes Energy Sdn Bhd (FatHopes Energy), secara dalam talian menerusi laman Facebook syarikat berkenaan hari ini.

Melalui Projek Eko-Komuniti, pihak FatHopes Energy telah memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian dekat sini bagi menggerakkan aspirasi kelestarian alam sekitar dengan mengumpul dan mengitar semula minyak masak terpakai untuk dijadikan biodiesel.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata dengan inisiatif sedemikian, ia mampu mendidik penduduk setempat khususnya golongan muda tentang kepentingan mengitar semula minyak masak terpakai sekali gus dapat memulihara alam sekitar. –

Tamat