Hati siapa tidak remuk apabila terjumpa jenazah anak yang disayangi terapung di lautan, namun itulah yang terpaksa dilalui oleh Abdul Razak Ismail, 59, apabila terjumpa menjumpai sekujur tubuh anaknya dipercayai terjatuh dari bot ketika memukat di Pantai Sri Tujoh di sini, pagi semalam.

Mangsa, Mohamad Farhan Abdul Razak, 23, ditemui sendiri oleh bapanya yang juga turun ke laut dengan menaiki bot berasingan.

Menurut abang mangsa, Mohamad Farizal Abdul Razak, 31 berkata, adiknya turun ke pantai kira-kira jam 2 pagi tadi dengan menaiki bot secara berseorangan manakala bapanya serta beberapa nelayan lain turun lebih awal.

“Kedudukan bot mereka semua tidak jauh di antara satu sama lain namun tiada yang perasan bila Farhan terjatuh, sebaliknya hanya nampak bot yang dinaikinya berpusing.

“Bapa yang berada tidak jauh dari bot adik segera diberitahu dan mereka cuba mencarinya sebelum ternampak mayat Farhan timbul di permukaan pantai,” katanya.

Mohamad Farizal berkata, tiada sebarang perubahan dilihat pada mangsa sebelum ini, malah tidak menyangka kejadian lemas menjadi asbab adiknya pergi memandangkan Mohamad Farhan sudah biasa memukat.

Katanya, proses bedah siasat baru selesai dijalankan di Hospital Tumpat dan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Keral, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan penemuan mangsa.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira 13 batu nautika dari jeti Pantai Sri Tujoh oleh bapanya sebelum membawa pulang menaiki botnya.

“Soal siasat mendapati tiada saksi yang ternampak mangsa terjatuh sebaliknya hanya ternampak bot berpusing di laut tanpa mangsa di dalamnya.

“Keluarganya juga memaklumkan mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit dan tiada ditemukan unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya sambil mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Tamat