Perbagai inisiatif dilakukan ooeh pihak kerajaan melalui pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan 1.7 juta rakyat mendapat bekalan air bersih.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata inisiatif tersebut termasuk cadangan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu, penukaran 511 kilometer paip uzur dan program pengurangan air tidak berhasil (NRW).

Bagi pelan jangka masa pendek, katanya kerajaan memperuntukkan RM664.8 juta untuk kerja perbelanjaan modal oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi tempoh Operasi Keempat (OP4) (2021-2023).

“Cadangan pembinaan 3 LRA baharu, iaitu LRA Chicha Fasa 2 berkapasiti 40 juta liter sehari (JLH), LRA Tanjung Mas (30 JLH) dan LRA Bukit Chupak (10 JLH) yang dijangka siap pada tahun 2024,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abd Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, penukaran 511 kilometer paip uzur jenis Asbestos Cement (AC) secara berperingkat dengan anggaran kos sebanyak RM218 juta.

Katanya, sehingga kini sepanjang 106.2 kilometer paip telah diganti, manakala sepanjang 405 kilometer lagi akan diganti secara berperingkat.

“Di Kelantan, terdapat 4,491 kilometer, iaitu sebanyak 55 peratus paip lama jenis AC daripada keseluruhan 8,139 kilometer,” katanya.

Selain itu, katanya LRA di Kampung Teluk, Kota Bharu dengan kapasiti 30 JLH dijangka beroperasi akhir tahun ini, manakala LRA Mini di Telok Mesira, Bachok dengan kapasiti 2 JLH turut dijangka siap akhir tahun ini. –

Tamat