Akibat enggan memulangkan kereta rasmi milik kerajaan negeri Melaka, pihak polis terpaksa merampas kereta berkenaan sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak, jam 11.20 pagi semalam.

Bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee didakwa sengaja tidak mahu memulangkan kereta berkenan sehingga satu laporan polis terpaksa dibuat oleh seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengatakan kenderaan terbabit tidak dipulangkan.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, rampasan itu dibuat pihaknya susulan laporan polis diterima membabitkan salah guna kenderaan rasmi kerajaan negeri secara tidak jujur.

“Semalam, polis membuat permohonan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi mengeluarkan waran geledah untuk mengesan dan merampas barang kes.

“Susulan itu sepasukan polis merampas Toyota Camry terbabit bersama anak kunci kereta, kad Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Datuk Norhizam,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini seramai lima saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Mereka ini terdiri daripada kakitangan pejabat (SUK) dan lebih ramai saksi yang akan dipanggil termasuk Datuk Norhizam.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengetahui bagaimana kereta itu boleh diletakkan di lokasi itu dan apa kaitan dengan pemilik lot tempat letak kereta,” katanya.

Abdul Majid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Tamat