Kerajaan German membenarkan 35 masjid di Cologne termasuk masjid terbesar di Jerman dibenarkan untuk melaungkan azan menggunakan pembesar suara ketika solat Jumaat.

Satu laporan akhbar tempatan berkata, pengumuman itu dibuat selepas satu persetujuan dicapai antara perbandaran Cologne dan komuniti Islam bagi melonggarkan sekatan.

Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker berkata, dibawah inisiatif selama dua tahun, semua masjid di Cologne boleh menyiarkan laungan azan sehingga lima minit pada Jumaat antara tengahari hingga pukul tiga petang.

Katanya, keputusan itu turut membabitkan Masjid Pusat Cologne yang dibuka pada 2018 selepas menjadi titik tolak sentimen anti-Islam dari parti haluan kanan berikutan kemasukan para pencari suaka pada tahun 2015 dan 2016.

“Ramai penduduk Cologne beragama Islam, pada pandangan saya, ini adalah tanda hormat membenarkan laungan azan.

Inisiatif selama dua tahun itu akan membenarkan laungan azan ketika solat Jumaat.

“Ini menunjukkan bahawa kepelbagaian dihargai dan dihayati di Cologne,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter.

Menurut perbandaran itu, masjid yang berhasrat menyiarkan laungan azan harus mematuhi had ketinggian pembesar suara dan memaklumkan jiran terlebih dahulu.

Kira-kira 4.5 juta penduduk Islam menetap di Jerman dan Cologne bukan bandar pertama di negara itu yang membenarkan masjid menyiarkan laungan azan.

Dilaporkan, masjid-masjid di Gelsenkirchen dan Düren sudah menyiarkan laungan azan sejak 1990-an.

Tamat