Hubungan persaudaraan Malaysia dan Palestin sentiasa terjalin erat bagaikan isi dengan apabila sejak sebelum merdeka sehingga kini.

Dalam usaha itu, Malaysia menyalurkan sumbangan sebanyak RM5 juta kepada kerajaan Palestin bagi pembinaan semula Klinik Al-Rimal yang menempatkan makmal pengujian Covid-19 di Gaza yang musnah akibat serangan Israel pada Mei lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sumbangan tersebut menggunakan peruntukan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Perdana Menteri.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Nadma dan semua rakan lain yang membantu melunaskan usaha murni yang kita laksanakan pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Pertukaran (Exchange of Notes) sumbangan berkenaan di Wisma Putra, Putrajaya pada Khamis.

Turut bersama Saifuddin untuk menandatangani Nota Pertukaran itu ialah Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Mengulas lanjut, beliau berharap sumbangan kecil yang diberikan itu dapat membantu meringankan penderitaan dialami oleh penduduk Palestin.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengumumkan sumbangan jangka panjang Malaysia kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) yang berjumlah AS$1 juta untuk pemberian bantuan kemanusiaan terhadap pelarian Palestin.

Katanya, sumbangan berjumlah AS$200,000 akan disalurkan secara tahunan bagi tempoh lima tahun dari 2021 sehingga 2025.

Sementara itu, Walid turut melahirkan penghargaan terhadap sumbangan diberikan kerajaan Malaysia yang menurutnya sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin sama ada di peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa.

Tamat