Malaysia yakin pelabur luar bakal menjadikan negara ini sebagai satu hub pelaburan serantau selepas pelaksanaan aktif program vaksinasi dalam menyediakan persekitaran selamat kepada semua.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah menggariskan sembilan bidang fokus dalam memperkasakan pelaburan Malaysia dengan antaranya merancakkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan pemacu ekonomi, meningkatkan keselamatan sosial, membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pendapatan di seluruh negara.

“Keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dengan sosial yang pelbagai strata telah lama memberi peluang kepada pelabur. Berbilang bangsa, misalnya, memerlukan keperluan yang berbeza. Dalam erti kata lain, lebih banyak produk dan perkhidmatan berpotensi untuk dipasarkan di negara ini,” katanya pada Invest Malaysia 2021 Siri Maya 1 – Pembaharuan Ekonomi dianjurkan Bursa Malaysia Bhd bersama Maybank hari ini.

Ismail Sabri berkata, Malaysia menyediakan persekitaran yang paling kondusif untuk komuniti perniagaan untuk melabur, yang mana negara ini adalah pintu masuk ke pasaran ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Beliau berkata, 15 negara dalam RCEP saja menjana hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, dan dianggarkan bahawa keseluruhan pendapatan KDNK negara berkenaan akan meningkat sebanyak AS$174 bilion menjelang 2030.

“Ini akan menyediakan syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) kita peluang sama sambil memudahkan akses ke pasaran serantau yang lebih besar.

“Iklim pertumbuhan ini diperkukuhkan lagi oleh peningkatan yang konsisten Malaysia dalam bidang infrastruktur digital. Dalam beberapa tahun terakhir, Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam ekonomi digital, perniagaan dalam talian dan transaksi tanpa tunai,” katanya.

Di pentas antarabangsa pula, Ismail Sabri berkata, Malaysia kekal aktif sebagai pemain utama dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTTPA).

Beliau berkata, kerjasama ekonomi antarabangsa itu memberikan lebih 500 juta penyertaan dengan gabungan KDNK AS$10 trilion.

Ismail Sabri berkata, Malaysia juga telah memberikan perhatian khusus untuk teknologi hijau dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR).

Beliau berkata, dengan lebih banyak negara menggunakan sasaran peneutralan karbon, Malaysia telah mula mendorong banyak sektor dan industri dalam membangunkan teknologi yang diperlukan.

“Setakat ini, kerajaan Malaysia dan sektor swasta bekerjasama dalam visi dan strategi bersama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi mesra alam yang inklusif. Walaupun begitu, kami berhasrat untuk menjadi negara neutral karbon seawal 2050,” katanya.

Tamat