Jangan sampai isu minuman keras Arak Timah ini menconteng arang ke muka penduduk Islam Malaysia. Itu gesaan PAS apabila tular satu video pelancaran produk berkenaan secara maya baru-baru ini.

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama Islam, Idris Ahmad berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya penjualan arak dan konsisten dengan pendirian itu.

“Kita telah suarakan pada pihak kementerian, yang kita semua tidak akan pernah bersetuju dengan apa sahaja berkaitan Arak.

“Langkah kita di pihak kementerian membawa isu ini kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, serta KPDNHEP untuk tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata? Parti Islam Se-Malaysia (PAS) konsisten dengan pendirian menolak semua perkara yang bertentangan dengan syariat termasuk industri minuman keras yang jelas membawa mudarat kepada sistem sosial, kekeluargaan dan keselamatan masyarakat keseluruhannya.

Beliau menolak keras penjualan arak yang menjadi asbab utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian serta beberapa jenayah lain.

“PAS turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar lebih tegas dalam mengawal industri arak ini. Begitu juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjwab dalam meletakkan syarat yang lebih ketat berkaitan arak.

“Oleh itu, ia perlu dikawal seketat mungkin bagi mengelakkan daripada berlaku lebih banyak kerosakan sebagaimana yang dibuat oleh negeri Kelantan yang merupakan antara model terbaik dalam mengawal industri berkaitan arak dari sudut jualan dan kebenaran meminumnya.

“Justeru, PAS menyeru kepada semua pihak untuk berganding bahu dalam usaha membangunkan sebuah negara baharu yang lebih baik dan bebas daripada kemudaratan kesan daripada minuman arak yang berleluasa,” katanya hari ini.

Menurutnya PAS akan menggesa kesatuan ummah dalam usaha menolak arak seiring dengan prinsip Islam.

“Isu yang tular kini mengenai arak berjenama Timah hakikatnya telah wujud di negara ini sejak daripada tahun 2013 lagi. Namun, perlu diingat bahawa minuman keras walau apa jenama sekali pun adalah tetap dilarang oleh Islam.

Tamat