Syarat kelayakan permohonan subsidi yuran taksa yang ditawarkan oleh oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 180 sebulan wajar dikaji semula kerana gaji minimum turut sama meningkat.

Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, antara syarat utama untuk memohon subsidi berkenaan adalah pendapatan isi rumah perkapita tidak melebih RM800 bagi kawasan bandar dan RM500 bagi kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya di bandar utama seperti di Lembah Klang, jarang terdapat individu dengan gaji perkapita RM800 sebulan memandangkan gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan melebihi nilai itu.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar pemberian subsidi, yuran taska ini diperluaskan sekurang-kurangnya kepada golongan B40 bagi memastikan golongan berkenaan mendapat manfaat,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) turut mencadangkan supaya geran penubuhan taska di tempat kerja diperluaskan ke sektor swasta untuk mengurangkan beban kewangan wanita bekerjaya.

Menurutnya, di bandar besar kini terdapat taska yang mengenakan yuran mencecah hingga RM500 sebulan.

“Hal ini tentu amat membebankan golongan wanita bekerja, lebih-lebih lagi jika pendapatan yang diterima adalah kecil. Pada masa sama perlu dibelanjakan sebahagiannya untuk yuran asuhan anak-anak,” katanya.

Nuridah turut meminta penjelasan kerajaan berhubung sejauh mana geran penubuhan taska di tempat kerja dimanfaatkan oleh ketua di pejabat agensi kerajaan bagi kemudahan kakitangan.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan jumlah terkini taska yang dibuka di tempat kerja sektor awam seluruh negara. –

Tamat