Lari dari perintah kuarantin akhirnya maut selepas motorsikalnya merempuh pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat berdekatan Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani di sini semalam.

Mangsa berusia 25 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala, akhirnya mati di tempat kejadian dalam kemalangan pada pukul 11 pagi.

Mangsa dilihat menunggang motosikal jenis SM Bonus dan didapati memakai gelang kuarantin dalam perjalanan ke pekan Sungai Petani dari rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa didapati menunggang dengan melulu dan melanggar lampu isyarat merah di persimpangan itu.

“Mangsa merempuh bahagian sisi kanan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang tukang paip berusia 46 tahun yang ketika itu sedang melintas jalan semasa lampu isyarat hijau.

“Akibat rempuhan kuat itu, Muhamad Amir maut di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan Mitsubishi Triton itu pula tidak alami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anuar menambah, semakan rekod dengan Kementerian Kesihatan mendapati mangsa positif Covid-19 dan dalam proses kuarantin.

Katanya, mangsa juga dikesan merupakan orang dikehendaki pihak polis, selain mempunyai 14 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tamat