PASIR GUDANG – Kerajaan Persekutuan akan melanggar perjanjian dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimenterai pada 13 September lalu sekiranya melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, antara perkara utama yang sudah dimeterai dalam MoU itu ialah persetujuan untuk tidak melaksanakan pilihan raya sehingga 31 Julai tahun depan.

Justeru beliau mencadangkan pengisytiharan darurat di negeri itu yang akan memasuki Fasa Wmpat Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.

“Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) wajar memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah terbengkalai di Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini pada Ahad.

Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan MoU itu yang merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Pada Sabtu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum membuat keputusan sama ada bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN Melaka.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu juga berkata, PN akan menggunakan strategi mereka jika UMNO enggan bekerjasama untuk menghadapi PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, keputusan untuk tidak mengadakan PRN di Sarawak sebelum ini perlu dicontohi kerana terbukti langkah tepat kerana negeri tersebut dapat menumpukan usaha memerangi Covid-19. – SINAR