PETALING JAYA: Peranan Pas kawasan dan cawangan sangat penting untuk mendekati pelbagai kaum dan agama bagi memperkenalkan Islam sekali gus menghidupkan kedua-duanya sebagai akar umbi yang menguatkan parti. 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, semua pihak perlu mengambil acuan yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dengan mewujudkan perpaduan ummah. 

Beliau berkata, ini kerana dimulakan dengan perpaduan umat Islam, seterusnya mengajak manusia seluruhnya dalam masyarakat majmuk termasuk bukan Islam yang menjadi sebahagian daripada agenda Islam. 

“Tanggungjawab kita adalah mengisi acuan ini dengan cara yang betul, maka Pas mesti berusaha dengan sedaya-upaya bagi menyatukan umat Islam. Dalam masa yang sama Pas juga mesti memperkenalkan Islam kepada kalangan bukan Islam. 

“Menyatukan umat Islam merupakan satu kerja yang tidak mudah kerana mereka sudah lama dipengaruhi oleh pemikiran penjajah yang menganggap Islam sebagai agama ibadat sahaja (dan) bukan agama yang sempurna serta berdaulat sehingga orang Islam sendiri bercakap menghina hukum Islam kerana kejahilan mereka,

Maka peranan PAS Kawasan dan Cawangan amat penting untuk mendekati masyarakat pelbagai kaum dan agama untuk memperkenalkan Islam. Hidupkan kawasan dan cawangan sebagai akar umbi yang menguatkan parti.” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan.

“Saya ucapkan tahniah kepada seluruh ahli Pas yang menjayakan mesyuarat dan kepemimpinan Pas kawasan yang baru dilantik. Teruskan perjalanan kamu dengan mendapat berkat daripada Allah,” ujar beliau.