Arahan adalah muktamad. Semua penceroboh hutan simpan tidak boleh diberi muka. Mereka wajib mengosongkan kebun durian Musang King dan getah di Kampung Pulai, Gua Musang yang diteroka dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Galas

Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah yang berkata, peneroka wajib mematuhi arahan itu kerana tempoh masa 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan pada 30 September lalu sudah tamat.

“Alasan tidak tahu kawasan itu merupakan hutan simpan bukan isunya kerana kalau pun tanah itu bukan hutan simpan, ia sudah semestinya tanah kerajaan dan tidak boleh diterokai sewenang-wenang.

“Mereka telah meneroka selama 25 tahun tanpa sebarang bayaran kepada kerajaan negeri. Sepatutnya tidak ada masalah untuk keluar dari kawasan tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, lebih 30 pengusaha kebun durian Musang King dan getah seluas 90 hektar di Kampung Pulai terkedu diarah pihak berkuasa supaya mengosongkan kawasan itu setelah 25 tahun mengusahakannya.

Menurut kumpulan pekebun terbabit, perkara itu disifatkan amat mengejutkan kerana ha­nya selepas 25 tahun ini, barulah mereka diberitahu kawasan diusahakan merupakan sebahagian daripada hutan simpan.

Abdul Khalim dalam pada itu berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut berkaitan pencerobohan tanah Hutan Simpan Ulu Galas dan sekadar memberitahu, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya harap arahan pengosongan dipatuhi kerana ia tidak akan ditarik balik,” tegas beliau.

Tamat