Seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri selepas bertekad mahu membunuh diri dengan membakar pondok kediamannya.

Akibat tidak tahan panas, lelaki berkenaan terpaksa membatalkan hajatnya lalu berlari keluar bagi menyelamatkan diri sendiri.

Setelah disiasat nyata lelaki berkenaan mengambil tindakan itu hanya kerana berang dengan tindakan rakan sekerja menuduhnya mengambil wang sumbangan untuk membeli dadah,

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Sazali Adam berkata, suspek bagaimanapun membatalkan niat membunuh diri dengan keluar daripada pondok itu kerana tidak tahan panas.

Menurutnya, kejadian disedari pengurus ladang yang tiba di lokasi dan terkejut apabila melihat lori dan pondok yang menempatkan tiga pekerja terbakar.

“Pengurus ladang berkenaan kemudian menyoal pekerjanya dan suspek mengaku melakukan perbuatan itu.

“Mendengarkan jawapan itu, pengurus terbabit terus membawa suspek ke Balai Polis Junjong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sazalee berkata, hasil siasatan lanjut suspek memberitahu dia membakar lori dan pondok kediaman pekerja itu menggunakan selimut.

“Suspek mendakwa dia tertekan dengan kata-kata buruk rakan sekerja yang menuduhnya mengambil wang sumbangan untuk membeli dadah.

“Siasatan mendapati lokasi kejadian itu terletak agak pendalaman iaitu dalam sebuah ladang sawit,” katanya.

Katanya, polis turut merampas sehelai baju, seluar jeans, sepasang selipar dan pemetik api yang dipercayai digunakan suspek ketika membakar lori dan pondok itu dan kerugian dianggarkan RM10,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 436 Kanun Keseksaan.

Tamat