Seramai 70 peratus pengundi daripada jumlah 495,196 dijangka bakal keluar membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sasaran itu agak rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

“SPR mensasarkan 70 peratus akan keluar mengundi dan setiap garis panduan akan berpandukan kepada pandangan serta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagi pihak SPR kalau boleh sememangnya kita mahu sasaran yang positif, tetapi memandangkan faktor Covid-19, sasaran itu agak rendah yang mana selalunya kita menetapkan 80 peratus akan keluar mengundi,” katanya.

Beliau terdahulu mengumumkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 20 November depan manakala penamaan calon pada 8 November.

Katanya, seramai 12,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN, manakala, sebanyak 217 buah pusat mengundi biasa akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Bagi pusat mengundi awal, 21 buah pusat mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang dan baki 10 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab, SPR akan melaksanakan kempen Jom Kita Undi melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” tambahnya.

Tamat