Islam ialah ketetapan Allah Pencipta alam dan petunjuk-Nya. Manakala, manusia dan aspek hak asasinya adalah mengikut sempadan kejadiannya tanpa melampui batas yang telah ditetapkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hak asasi manusia merupakan prinsip moral atau norma yang menggambarkan standard tingkah laku manusia tertentu dan ia dilindungi secara berkala sebagai hak semula jadi serta undang-undang.

“Setiap individu tanpa mengira umur, etnik, lokasi, bahasa, agama atau status menginginkan hak asasi yang sama rata, antaranya hak untuk hidup dan menjadi warganegara, mempunyai rumah, mendapatkan perbicaraan yang adil serta memiliki harta.

“Selain itu, mereka juga ingin mendapatkan kebebasan hidup termasuk akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan hak untuk mempercayai serta mengamalkan agama yang dikehendaki,” ujar beliau dalam tulisan Minda Presiden PAS yang disiarkan di Facebook miliknya pada Isnin.

Menurut beliau, hak asasi manusia berbentuk sejagat, tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung antara satu sama lain dengan asas kefahaman bahawa setiap insan mempunyai maruah serta harga diri.

Jelas beliau, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumentasikan hak-hak asasi yang sepatutnya dimiliki setiap insan yang dinyatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) pada tahun 1948 untuk memastikan maruah dan harga diri manusia sentiasa dihormati serta dilindungi.

“Namun, kini kita telah menyaksikan keruntuhan jati diri manusia dalam dunia barat. Contohnya, keruntuhan institusi kekeluargaan apabila anak sendiri menugaskan orang lain untuk menjaga ibu bapa yang tua dan uzur kerana kononnya mereka tidak cukup masa serta berhak untuk bekerja.

“Lebih malang lagi, ada kalangan mereka yang meletakkan hak asasi manusia setaraf dengan binatang yang tidak berakal,” ujar beliau.