PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan akan bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan Kertas Pandora membabitkan bekas pemimpin negara.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Azam berkata, pertemuan itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

“Kita tidak panggil sebaliknya akan bertemu beliau dalam masa terdekat ini,” katanya ringkas.

Terdahulu, Anwar dilaporkan bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM berhubung pendedahan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menggesa siasatan dilakukan terhadap pelbagai agensi yang berkaitan dan bertanggungjawab seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau mendedahkan isu Kertas Pandora sudah  dibangkitkan sejak 2012, namun tiada maklum balas mengenai siasatan diterima.

Anwar sebelum ini membangkitkan isu Kertas Pandora yang mendedahkan individu mempunyai akaun luar pesisir seperti bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan beberapa ahli keluarganya serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN ONLINE