Aktiviti melombong emas secara haram boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak kerajaan kerana dianggap sebagai mencuri khazanah negara.

Berikutan itu, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang bagi mereka yang terlibat melombong emas secara haram di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di Lembah Danum di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, aktiviti yang dilakukan secara haram itu adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

“Selain itu, ia boleh mendatangkan bahaya kerana terdapat risiko berlaku runtuhan tanah yang mungkin boleh menyebabkan kematian dan sebagainya.

“Mineral itu adalah hak dan harta kerajaan, jadi siapa yang buat secara haram ia sama seperti mencuri khazanah negara,” katanya selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, di sini hari ini.

Beliau pada masa sama berharap agar kerajaan dapat menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu dalam aktiviti perlombongan mineral tersebut.

“Kerajaan kita adalah kerajaan prihatin yang tidak menyekat peluang rakyat untuk memperoleh pendapatan dalam apa cara sekalipun dengan syarat ia mematuhi peraturan ditetapkan.

“Oleh sebab itu, kerajaan sebagai contohnya dalam konteks REE (Unsur Nadir Bumi), kita sedang sedia SOP untuk dipatuhi oleh rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, berkaitan pencerobohan hutan simpan, kata beliau, hutan simpan adalah kawasan larangan dan orang awam tidak dibenarkan masuk kecuali dengan permit jabatan perhutanan.

“Sesiapa nak buat aktiviti termasuk beriadah di kawasan hutan simpan, mereka perlu mendapatkan permit daripada jabatan perhutanan terlebih dahulu,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) serta agensi lain membongkar aktiviti melombong emas secara haram yang didakwa berlaku sejak 90-an.

Ia berikutan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di Lembah Danum dekat Lahad Datu, Sabah pada 21 Ogos lalu.

Tamat