40 pendatang asing tanpa izin (pati) dari Indonesia gagal membolos masuk ke Malaysia selepas Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia APMM lebih awal menghidu pergerakan memintas serta menghalau keluar dari sempadan negara jam 4 semalam.

Pengarah APMM Negeri Selangor Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam semalam.

“Pada jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang, telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

“Berikutan itu bot Penggalang 10 APMM yang dalam tugasan Op Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Menggunakan bot Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin, lalu mengarahkan untuk berhenti, namun tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan merbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai sekitar jam 2 pagi,” katanya kepada media semalam.

Mohd Rosli berkata dua aset berkenaan terus mengejar dan memburu bot PATI berkenaan untuk mengusirnya Dari kembali ke pantai

“Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas, bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai.

“Dalam tempoh kejar buru hampir satu jam tiga puluh minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan merbahaya”.

Katanya Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang.

Tamat