PAS kekal dengan pendekatan muwajjah silmiah menggunakan jalan rundingan dan pendamaian bagi berdepan Pilihanraya Umum ke 15 nanti.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata PAS perlu berdepan dengan musuh yang ramai dan ahlinya perlu menyumbang tenaga fikiran, tenaga anggota dan keluarga sebaik mungkin mengikut kepada kemampuan mereka.

“Cara damai hendaklah dimulakan, bukan cara perang. Perang adalah cara terakhir apabila musuh menyerang atau menakluk negeri kita.

“Sekarang ini kita sama-sama bergelumang dalam satu negara, dalam satu masyarakat. Maka, pendekatan kekuatan muwajjahah silmiah adalah sangat penting dan kita memlilih pendekatan secara damai,” katanya dalam ucapan sempenan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan, di laman sosial rasmi Facebook miliknya, semalam.

Menurut Hadi Awang konsep ini bakal menarik lebih ramai sokongan masyarakat termasuk yang bukan Islam kerana menawarkan demokrasi damai buat warga Malaysia khasnya.

“Pertama, kita mengajak mereka kepada islam. Keduanya, jika mereka tidak mahu memeluk Islam, ajak mereka menerima sistem pemerintahan Islam.

“Walaupun mereka tidak menerima Islam. Apa salahnya mereka duduk di bawah pemerintahan islam? Islam bukan hanya pada agama semata-mata, ia termasuk cara berpolitk.

“Sekiranya mereka boleh menerima ideologi sosialis dan kapitalis yang berasal daripada barat, bukan dari China mahupun India, mengapa mereka tidak boleh menerima Islam menjadi satu sistem pemerintahan yang boleh menunjukkan keadilan untuk semua?” katanya.

Oleh itu, kata Tuan Guru, politik Islam mesti diperkenalkan kepada orang bukan Islam dan itu adalah keputusan yang diambil oleh PAS untuk berdepan PRU15.

Selain itu katanya, PAS perlu menyediakan calon berwibawa, dan memenuhi sikap seorang pemimpin untuk bertanding pada PRU akan datang.

Katanya, adalah mustahil untuk mencari calon yang sempurna seperti Rasulullah SAW, dan amat jauh untuk menemui calon yang mempunyai sikap seperti para sahabat.

Oleh itu kata Tuan Guru, walaupun sukar untuk mencari calon yang mempunyai iman yang kuat, budiman, berilmu pengetahuan, berpengalaman, namun ahli PAS boleh memilih pimpinan mereka secara kolektif.

“Yang penting calon adalah seorang yang istiqamah dengan parti, berintegriti, berakhlak mulia, mempunyai akidah yang kuat, dan mampu bertahan dengan parti.

“Kita hendak pilih calon bukan sekadar menjadi rakan berbual di kedai kopi, calon mestilah yang mampu turun padang, mampu bergerak di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, mampu memerintah negara dan negeri. Ini mesti kita atur dan susun,” ujarnya.

Tamat