Rakan sepasukan arwah Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Diya Che Jusuh, 46 hanya mampu menahan linangan air ketika turut sama membantu dalam urusan pengebumian jenazah tadi.

Rakan sepasukan arwah, langsung tidak memberi sebarang komen, cuma berkata, “Arwah memang hero kami”.

Jenazahnya selamat dikebumikan pada jam 11.50 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong tadi sambil penuh istiadat sebagai bomba sebagai seorang wira negara yang dihadiri kira-kira 200 anggota bomba termasuk penduduk kampung yang memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka di sini, selepas rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika menjalankan operasi menyelamat di Sungai Putat petang semalam.

Jenazah Allahyarham Mohd Diya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah itu tiba di tanah perkuburan pada jam 11.20 pagi selepas disembahyangkan di Masjid An-Nur Kampung Krubong.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad dan Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain yang turut bersama pegawai dan anggota bomba serta penduduk kampung untuk solat jenazah di Masjid An-Nur.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa menziarahi ahli keluarga Allahyarham di Taman Krubong Jaya.

Dalam kejadian pada Rabu, Allahyarham Mohd Diya bersama pasukannya sedang melakukan kerja-kerja menyelamat seramai 14 mangsa banjir yang terperangkap di anjung sebuah rumah di Sungai Putat berikutan arus deras serta paras air meningkat dengan cepat.

Difahamkan pasukan itu menggunakan alat pelindungan diri ketika melakukan penyelamatan secara ‘water crossing’ di lokasi kejadian sebelum mangsa tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.

Allahyarham Mohd Diya kemudian diselamatkan oleh anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Melaka menggunakan Jentera Emergency Medical Rescue Service (EMRS) BBP Melaka Tengah.

Mangsa yang menerima rawatan di hospital bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis.

Tamat