KUCHING: Khabar angin pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam tempoh terdekat atau pada minggu ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) diadakan, bertiup kencang sejak malam tadi.

Ada pihak mendakwa pembubaran DUN akan berlaku esok sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Sarawak.

Namun ada juga yang meramal DUN akan dibubar Isnin ini, selepas selesai lawatan Ismail Sabri serta beberapa menteri Persekutuan ke Sarawak antaranya Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Namun, ramai yang tersentak apabila ada yang meramalkan akan diumumkan hari ini apabila spekulasi itu disiarkan akhbar tempatan menerusi berita dalam talian malam tadi.

Bagaimanapun, kemungkinan pengumuman pembubaran itu dilakukan hari ini tipis memandangkan jadual padat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sibuk di luar Kuching sepanjang hari ini dan dijadual menghadiri tiga majlis berasingan di Sri Aman mulai jam 10 pagi hingga jam 4 petang nanti.

“Tak mungkin beliau umumkan hal penting itu di Sri Aman kerana secara tradisinya sejak zaman Tun Taib lagi (Tun Abdul Taib Mahmud) pengumuman dibuat di Kuching, tepatnya di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia,” kata seorang pemimpin kanan sebuah parti politik.

Namun, segala kemungkinan boleh berlaku kerana PRN-12 adalah yang pertama bagi Abang Johari sebagai ketua kepada empat parti yang membentuk GPS.

Ia juga yang pertama bagi parti pemerintah kerajaan Sarawak itu ‘bertempur’ di luar pakatan Barisan Nasional (BN).

“Mungkin juga Abang Jo akan buat sesuatu yang baharu. Manalah tahu tiba-tiba beliau umumkan di Sri Aman hari ini,” kata pemimpin itu lagi.

Mengikut perundangan, DUN Sarawak terbubar secara automatik selepas tempohnya tamat pada 7 Jun lalu tetapi proses pilihan raya tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Pada 30 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh di Sarawak bermula 2 Ogos lalu hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan PRN12 Sarawak boleh diadakan sebelum tempoh darurat tamat pada 2 Februari 2022.

Katanya, terdapat dua perkara dalam Ordinan Darurat Sarawak 2021 yang membolehkan situasi itu berlaku selari dengan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Pertama, darurat boleh disingkatkan oleh Yang di-Pertuan Agong jika ia diperlukan dan keduanya, pilihan raya boleh diadakan jika Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan persetujuan kerajaan negeri iaitu Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri.

Selepas penjelasan Wan Junaidi itu, tersebar pula khabar angin Abang Johari sudah menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan bagi cadangan pembubaran DUN.

Sumber – Berita Harian