Satu kajian khas berkenaan Rang Undang-undang Warga Emas telahpun selesai dan bakal diperkenalkan pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kajian berhubung rang undang-undang itu selesai dijalankan pada 1 Oktober lalu dan kini di peringkat persediaan.

“Kerajaan sangat peka dengan keperluan warga emas dan kita membuat kajian untuk mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, semalam.

Sementara itu, Siti Zailah pada sidang medianya berkata, dalam menuju ke status negara tua pada 2030, kementerian menyasarkan untuk mewujudkan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi setiap Parlimen di seluruh negara.

“Sehingga Ogos 2021, seramai 49,675 warga emas berdaftar dengan 143 PAWE sedia ada di seluruh negara dan tahun ini, kerajaan memperuntukkan pertambahan 10 lagi PAWE baharu.

“Kerajaan berhasrat menyediakan 222 PAWE dengan satu Parlimen akan mempunyai satu PAWE dan setakat ini 131 kawasan Parlimen mempunyai PAWE,” katanya.

Mengenai sambutan Bulan Keluarga Malaysia pada 6 November ini dengan tanda pagar #KeluargaMalaysia dan slogan ‘Kita Kan Keluarga Malaysia’, beliau berkata, sambutan itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam suasana norma baharu.

“Sambutan ini diadakan bagi menggalakkan masyarakat untuk mengutamakan keluarga agar nilai murni dan kasih sayang dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda terhadap keluarga mereka,” katanya.

Tamat