Pertama kali dalam sejarah apabila menganjurkan program tazkirah 25 jam dengan tontonan lebih 50,000 orang dan ia merupakan rekod terpanjang cacatan masa program turut diabadikan menerusi Malaysian Book Of Records.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Ustaz Nasrudin Hassan menzahirkan kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan menganjurkan tazkirah 24 jam yang julung-julung kali diadakan yang berakhir pada 19 Oktober 2021 jam 10 malam.

“Tujuan penganjuran ini ialah bagi menterjemahkan tugas menyampaikan peringatan yang disuruh oleh Allah sebagai manfaat untuk orang beriman.

Tazkirah yang berpaksikan pengkisahan sejarah hidup Rasulullah SAW itu diadakan sempena Maulidur Rasul 1443H.

“Ia memaknakan sambutan Maulidur Rasul dengan mengisahkan sejarah hidup baginda menerusi kitab Sirah Nabawiyah Al Rahiqul Makhtum yang memiliki sebanyak 861 muka surat, katanya kelmarin.

Nasrudin berkata, kejayaan tazkirah 24jam ini juga sebagai usaha untuk mengkhatamkan buku karangan yang sangat bermakna ini yang kebiasaannya kebanyakan tidak mampu untuk membacanya dalam tempoh yang singkat.

“Usaha yang dilakukan oleh YADIM menerusi program tazkirah 24 jam bukanlah untuk mencari nama dan kebanggaan tetapi untuk menyeru dan menyemarakkan semangat hari sambutan Maulidur Rasul 1443H.

“Kejayaan program ini adalah hasil usaha gigih semua pihak termasuk para pentazkirah dari dalam dan luar negara, kakitangan YADIM dan juga pihak belakang tabir yang menguruskan teknikal penyiaran tazkirah 24 jam YADIM ini.

“Semoga usaha ini beroleh keberkatan daripada Allah SWT dan diganjari dengan sebaik-baiknya balasan disisiNya,”katanya.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) atas kejayaan menganjurkan program tazkirah 24 jam tanpa henti yang mendapat pengiktirafan dalam “Malaysia Book of Records” (MBOR).

Menerusi catatan di Facebook malam tadi Ismail Sabri berharap usaha itu dapat memberi inspirasi kepada pelbagai pihak yang berhasrat untuk bersama-sama melestarikan gerakan dakwah di Malaysia.

“Alhamdulillah, dalam menyulam rasa kecintaan kepada pemimpin teragung, Nabi Muhammad SAW sempena Maulidur Rasul, YADIM berjaya mencatatkan rekod apabila mencipta nama dalam ‘Malaysia Book of Records’ melalui penganjuran program tazkirah 24 jam yang diiktiraf sebagai ‘Longest Non Stop Live Broadcasting Islamic Talk’.

Tahniah YADIM dan kepada semua yang terlibat dalam usaha untuk mencetuskan gelombang dakwah di negara ini,” katanya.

Tamat