Agensi Islam melalui Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah mewujudkan Dana P.U.L.I.H (Peralatan Untuk Kelengkapan dan Pemulihan Hospital) di bawah Sijil Wakaf Tunai Kesihatan. Ia bertujuan menyediakan kelengkapan dan peralatan hospital khususnya kepada hospital-hospital rujukan bagi mengendalikan kes COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, Sehingga 30 September 2021, sejumlah RM1,417,600.00 telah dibelanjakan untuk kegunaan di hospital. Antara hospital yang menerima dana tersebut adalah Hospital Sungai Buloh berjumlah RM275,200.00, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang berjumlah RM634,400.00, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan berjumlah 496,500.00 dan Hospital Kajang berjumlah RM11,500.00

Menurut beliau, selaras dengan Pelan Pemerkasaan Pengurusan Wakaf yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, YWM sedang giat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai syarikat berkaitan Kerajaan dan syarikat korporat.

“Melalui kerjasama YWM dengan Kenanga Investors Berhad dan Maybank Asset Management, sektor kesihatan telah dijadikan sebagai salah satu sektor pengagihan dana wakaf.” ujar beliau dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, kesemua usaha pembangunan wakaf ini dilakukan dengan mengiktiraf kedudukan Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf.

“Bagi membolehkan kesemua cadangan yang dikemukakan dalam RMK-12 menjadi kenyataan, konsep ‘Cooperative Federalism’ perlu diaplikasi bagi membolehkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pembangunan tanah wakaf direalisasikan secara efektif dan efisien serta dengan penuh tanggungjawab.” ujarnya.