Mekanisma yang dilaksanakan oleh JAKIM untuk pensijilan halal di peringkat antarabangsa adalah melalui pengiktirafan kepada 84 Badan Pensijilan Halal Luar Negara, yang merangkumi 46 buah negara di seluruh dunia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perkara ini adalah selaras dengan Perenggan 5 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan bahawa semua makanan dan barang-barang import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan jika makanan dan barang-barang import itu mematuhi kehendak perenggan 4 atau diperakukan halal oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Badan inilah yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan sijil halal bagi produk-produk luar negara yang memasuki pasaran di Malaysia.” ujar beliau dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Menurut beliau, antara usaha-usaha lain yang akan dijalankan oleh JAKIM di peringkat antarabangsa adalah mengadakan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan sama ada berbentuk dua hala atau pelbagai hala. Hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara luar diikat dengan perjanjian persefahaman yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua negara.

“JAKIM juga dalam proses mewujudkan modul Eksekutif Halal Antarabangsa sebagai persiapan untuk mewujudkan kumpulan pakar yang akan membantu Badan-Badan Pensijilan Halal Luar Negara dan pihak industri luar negara, mematuhi standard halal di Malaysia.” ujar beliau.