Pemimpin Pas meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berunding bersama semua parti Melayu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mengemukakan gesaan itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata Ahmad Zahid tidak sepatutnya mempertaruhkan nasib politik orang Melayu dan Islam di negeri berkenaan hanya bersandarkan keyakinan bahawa UMNO sudah kembali diterima ramai.

Katanya, PRN Melaka perlu dijadikan medan untuk semua parti Melayu Islam di negara ini bekerjasama demi masa depan umat.

“Maaf Dato’ Seri. Berundinglah. Jangan dipertaruhkan nasib politik Melayu Islam di Melaka hanya kerana keyakinan UMNO telah kembali pulih. Inilah masanya untuk semua parti Melayu Islam duduk bersama memimpin umat,” katanya.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu membuat gesaan berkenaan melalui ruangan komen dalam satu hantaran Facebook bekas Timbalan Perdana Menteri itu, semalam.