Konsep zakat korporat dapat diperluaskan lagi dengan sistem Keluarga Malaysia yang mencakupi nilai kekeluargaan dalam negara seperti Lembaga Tabung Haji menyerahkan sebuah van bagi kegunaan harian Pusat Jagaan Nur Murni, Batu Kawa, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, tindakan yang diambil oleh pihak TH memberi zakat korporat ini merupakan contoh terbaik kepada korporat lain.

“Tindakan TH ini sangat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan pemeliharaan kesejahteraan negara dan rakyat, mencakupi nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan.

“Kita melihat segala konsep ini menjadi keperluan utama lebih-lebih lagi dalam situasi sukar di mana negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-19.

“Contohnya pihak TH memperluaskan zakat korporat terus kepada penerima di rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah untuk orang kurang upaya (OKU) bagi membantu memudahkan mereka bergerak dan menjalankan aktiviti dan program,” katanya semalam ketika menyerahkan replika kunci van itu kepada Pengerusi, Pusat Jagaan Nur Murni, Noni @ Noraini Bakiri sempena lawatan kerja beliau ke Sarawak.

Beliau berkata, pihak korporat dicadang terus membantu rakyat dan masyarakat dengan wujudnya sistem zakat korporat ini.

“Selain daripada masyarakat mendapat kebaikan, zakat korporatlah dapat membantu membangunkan institusi asnaf negara,” katanya.

Sementara itu pihak TH berkata, melalui Program Mobiliti 2021, TH akan menyumbang 25 buah van penumpang ke rumah-rumah kebajikan terpilih di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

TH dalam kenyataan berkata, pihaknya turut memperuntukan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat.

“Program Mobiliti TH dilancarkan pada tahun 2016 yang bertujuan menyumbang van dwi-fungsi yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat sebagai van penumpang atau van jenazah.

“Sejak diperkenalkan, TH menyumbang lebih 56 buah kenderaan pelbagai fungsi kepada masjid terpilih di seluruh negara yang memberi manfaat lebih daripada 200,000 ahli kariah,” katanya.

Tamat