Masih ada pihak yang mahu menafikan kesan mabuk arak terbukti membunuh ratusan mangsa tidak berdosa melalui kemalangan jiwa.

Itu belum idea ahli politik kapitalis berkonsepkan sekular membawa arak sebagai hiburan dengan nama Timah sekali gus mempersenda umat Islam.

Susulan itu, kes semakin meningkat termasuk kes terbaru kemalangan membabitkan tiga kenderaan, di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (arah Port Dickson) pada awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, kejadian yang berlaku pada jam 2.45 pagi itu, menyebabkan seorang mangsa yang merupakan pemandu kereta jenis Proton Saga, mengalami patah paha kaki kanan, akibat dirempuh suspek yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, suspek telah memandu secara melawan arus dari arah Port Dickson ke arah Seremban, manakala pemandu kereta jenis Toyota Vios dan Proton Saga dari Seremban ke Port Dickson.

“Sampai di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan itu telah dilanggar oleh kereta pacuan empat roda (Ford Ranger) yang dinaiki suspek secara seorang diri.

“Pemandu pacuan empat roda itu, dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol, dia kemudiannya dibawa ke Balai Trafik Port Dickson bagi menjalani ujian saringan nafas dan bacaan ujian saringan.

“Suspek serta pemandu dan penumpang di kereta Toyota Vios yang dilanggar, tidak mengalami kecederaan, manakala mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Tambahnya, hasil bacaan ujian saringan nafas suspek mengandungi alkohol melebihi paras yang dibenarkan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) kerana memandu dalam pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan pada pihak lain, dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu serta bahaya.

Tamat