Mulai esok mereka yang kehilangan pendapatan dapat menarik nafas lega apabila bakal menerima Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM 500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada mereka yang kehilangan pendapatan sepanjang tahun ini lebih kurang seramai 870,000 individu terlibat.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela.

“Bagi membantu rakyat yang terkesan, Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 akan diberikan secara ‘one-off’ mulai Selasa, 26 Oktober 2021.

“Semua bantuan ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM434 juta demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam satu kenyataan pada 26 September lalu, Ismail Sabri memaklumkan beberapa bentuk bantuan, antaranya BKP, akan diberikan kepada penerima yang layak dan dijadual akan disalurkan pada bulan ini hingga Disember depan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan pemberian BKP kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan adalah berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam tahun ini.

Katanya, semakan status kelulusan BKP boleh dibuat mulai esok, melalui Portal BKP iaitu https://bkp.hasil.gov.my.

“Untuk maklumat lanjut, penerima BKP juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

“Semoga bantuan ini dan juga bantuan tunai lain yang disediakan kerajaan dapat mengurangkan beban kewangan Keluarga Malaysia dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar ini,” katanya.

Tamat