FORMULA kerusi penyandangkekal pada penyandang yang disarankan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) ‘tutup buku’.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dengan formula perundingan itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal bertanding 14 kerusi.

Menurut beliau, dengan dukungan undi PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 14 kerusi tersebut sangat selamat untuk dimenangi oleh UMNO.

“Bersatu kekal bertanding dua kerusi yang disandang. Pun sama, kemenangan adalah sangat dijangka dengan dukungan undi UMNO/ BN dan PAS.

“Baki lagi 12 kerusi perlu diagihkan antara tiga parti. Dengan dukungan tiga parti utama, lima kerusi sangat selamat untuk dimenangi bersama atas nama muafakat.

“Dengan itu Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN Melaka. PH boleh tutup buku,” katanya dalam hantaran Facebook milik beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berpandangan, tidak sukar untuk berunding jika diletakkan atas satu matlamat iaitu kemenangan bagi umat Islam dan bagi menghalang kemenangan PH.

“Saya menyeru semua pihak berunding. Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan setelah mana kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita.