Satu rang undang-undang berkaitan gangguan seksual akan dibentangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebelum berakhirnya persidangan Dewan Rakyat Disember ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata ia akan dibentangkan selepas mendapat kelulusan agensi dan mesyuarat Kabinet.

Pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini, Siti Zailah berkata setakat ini daripada segi perundangan sudah ada akta bagi melindungi wanita daripada gangguan seksual seperti Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Kerja 1955 [Akta 265].

Beliau berharap wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual agar membuat aduan kepada KPWKM ataupun polis supaya maklumat dapat direkodkan dan tindakan tegas dapat diambil terhadap pelaku.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, sebelum ini berkata Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual digubal untuk menambah baik sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus bagi mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat menggunakan standard pembuktian imbangan kebarangkalian dan pemberian pampasan atau ganti rugi kepada mangsa.

“Draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual yang digubal secara kolektif menerusi sebuah pasukan projek khas berhasrat menangani isu gangguan seksual termasuk standard pembuktian yang tinggi,” katanya.

Tamat