97 buah rumah berjaya disiapkan berkat sumbangan PASRelief selepas tiga bulan projek itu bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri, berkata, beliau rasa tidak pernah projek baik pulih rumah dalam bentuk dan tenaga kerja sebesar ini dilaksanakan.

“Bayangkan setiap rumah perlu diziarahi beberapa kali sebelum ditentukan kos baik pulih, kemudian setelah perjanjian ditandatangani oleh pemilik rumah, jurutera yang bertanggungjawab perlu menziarahi proses pembaikan dua atau tiga kali seminggu,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, semalam.

Selain itu, katanya pasukan jurugambar dan juruvideo juga perlu menziarahi setiap rumah sekurang-kurangnya tiga, empat kali untuk merakam keadaan sebelum dan selepas rumah dan menyediakan gambar untuk arshif selain video yang dimontaj.

Menurutnya, ini bermaksud setiap rumah diziarahi hampir 15 kali dan didarab dengan kuantiti 97 buah rumah, hampir 1,500 ziarah ke lapangan dilakukan untuk menyiapkan rumah-rumah berkenaan.

“Pasti sahaja kami boleh membuat kerja dengan remeh-temeh, memberikan duit kepada penghuni rumah membaiki sendiri rumahnya lalu mengambil gambar sebelum dan selepas baik pulih, tetapi itu bukan cara kerja kami.

“Amanah dan sumbangan kalian besar maknanya kepada kami justeru setiap sen dimaklumkan ke mana digunakan,” jelasnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada PASRelief yang memberi kepercayaan kepada pihaknya mengurus sumbangan.

Tambahnya lagi, untuk makluman selain projek baik pulih rumah, PASRelief turut menyumbang wang bantuan segera kepada keluarga penduduk yang terkesan bernilai RM1 juta dan sebuah ambulans untuk kegunaan pesakit dan mangsa perang.

Kata beliau, PASRelief juga akan bertapak dengan lebih teguh di Palestin dengan pembukaan cawangannya di sana dalam masa terdekat.

“Projek Aid4Palestine berbaki baik pulih 14 buah rumah lagi untuk siap sepenuhnya. Terima kasih Malaysia!” ujarya lagi.

Tamat