Hampir semua tahu Pulau Pinang perlu memberi royalti kepada kerajaan Negeri Kedah sejak Francis Light memohon menggunakan pulau berkenaan.

Oleh itu, tindakan kerajaan negeri Kedah menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pajakan negeri Pulau Pinang adalah wajar dan disokong penuh.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar berkata, negeri ini telah mengalami kerugian besar sejak ratusan tahun lalu dan tuntutan berkenaan perlu dipertimbangkan sebaik mungkin oleh kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, berdasarkan sejarah, tiada perjanjian ataupun surat pajakan berhubung pendudukan Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan naratif yang mendakwa bahawa Pulau Pinang dipajak daripada Kedah pada 1786 tidak berlaku.

“Tiada perjanjian yang berlaku cuma terdapat cebisan-cebisan surat perbincangan antara Sultan Abdullah Mukkaram Syah dan Francis Light ketika itu.

“Ada yang salah faham tentang perkataan selagi ada bulan bintang dalam surat tersebut yang merujuk kepada dakwaan perjanjian itu. Hal ini cuma merujuk kepada kisah persabatan antara Sultan Abdullah dan Francis Light sahaja. Surat dulu memang ada bunga-bunga bahasa seperti itu,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Mengulas lanjut, Dr Ibrahim berkata, jika nilai RM100 juta tersebut dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan, peruntukan tersebut boleh digunakan bagi tujuan pembangunan Kedah yang juga memberi kesan langsung kepada Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor yang telah memohon bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pajakan Negeri Pulau Pinang.

Menurut Muhammad Sanusi, tuntutan itu adalah salah satu permohonan kerajaan negeri dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Tamat