Ramai yang masih lagi kabur sekiranya perkataan pertanian dibentangkan dihadapan mereka. Tak kurang jua yang mengatakan tiada masa depan.

Walaupun, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan ll, Dr Nik Muhammad Zawawi mahu merubah landskap pemikiran itu menjadikan mereka yang terlibat dengan pertanian adalah jutawan.

Nik Muhammad Zawawi berkata, hasrat itu mampu direalisasikan sekiranya berjaya menarik golongan muda khususnya lepasan universiti supaya berkecimpung dalam bidang pertanian moden.

“Saya cukup yakin dan percaya ilmu serta kemahiran yang ada pada anak-anak muda ini mampu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam memacu bidang pertanian moden negara pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Puteh di sini pada Ahad.

Beliau berkata, penglibatan graduan lulusan universiti merupakan langkah terbaik dalam mengurangkan kebergantungan import makanan negara dari luar, sekali gus mampu menampung permintaan tempatan.

Ujarnya, kejayaan negara maju menjadikan industri pertanian dalam skala besar perlu dijadikan sebagai contoh terbaik.

“Kita semua boleh lihat, bagaimana Jepun, German, Belanda dan paling dekat Thailand menggunakan pertanian sebagai penyumbang utama ekonomi digerakkan oleh golongan muda belia.

“Perlu diingatkan kepada semua, pertanian menjamin aspek pemakanan manusia, manakala pemakanan menjamin kelangsungan hidup generasi selepas ini.

“Tambahan pula, makanan menjadi keperluan utama, kita bimbang bekalan makanan negara menurun semasa musim PKP, akibat Covid-19, sebab itu kita mahu teknologi pertanian pemakanan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Selain itu, beliau mahu mengubah persepsi sesetengah pihak bahawa para petani adalah kelas pertengahan dan miskin dengan menjadikannya sebagai industri seperti di negara maju.

“Tanah-tanah terbiar yang masih ada di negara ini sama ada milik kerajaan atau individu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin menerusi aktiviti pertanian.

“Ia boleh diusahakan dengan dengan pelbagai jenis tanaman jangka pendek,” katanya.

Menurutnya visi ini bukan mustahil kerana semua orang bergantung kepada makanan melalui hasil pertanian samada sumber karbohidrat seperti nasi, sumber protein utama daripada daging, ayam dan ikan, serta tanaman sayuran.

“Teknologi pertanian perlu ditambah baik, sekiranya dahulu memerlukan tanah yang luas, tapi kini ianya mampu dihasilkan menggunakan kaedah fertigasi, hidroponik, serta beberapa sistem lain,” katanya.

Tamat