Kerajaan DAP Pulau Pinang mulai gusar apabila Kerajaan Kedah menuntut tunggakan bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan itu adalah salah satu permohonan kerajaan negeri dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Menurutnya, ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti sebanyak RM10,000 setahun.

“Saya telah dimaklumkan Sultan Kedah bahawa baginda sudah beberapa kali menyuarakan hal ini semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kepada Kerajaan Persekutuan, baginda juga telah membekalkan dokumen perjanjian berkaitan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Pada 2018 tanpa ada asas apa-apa Kerajaan Persekutuan beri RM10 juta. Ia bukan nilai tapi diberi penambahan RM10 juta daripada RM10,000 berdasarkan nilaian semasa yang tidaklah begitu rigid.

“Jadi kita mohon dipertimbangkan RM100 juta yang saya fikir kalau minta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta membuat satu penilaian yang terperinci mengenai pajakan negeri Pulau Pinang, saya fikir nilai semasa bukan RM100 juta tapi mungkin RM400 hingga RM500 juta setahun, jadi kita minta pertimbangkan RM100 juta setahun,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, jumlah royalti pajakan RM10,000 pada masa ini tidak lagi munasabah kerana ianya tidak mengikut nilai semasa.

“Sebelum ini mengikut perjanjian royalti pajakan Pulau Pinang perlu dibayar mengikut nilai 10,000 dolar Sepanyol namun selepas merdeka, British tidak menepati perjanjian itu dan dilakukan pembayaran mengikut ringgit Malaysia hingga sekarang.

“Jumlah ini tidak munasabah satu negeri bayar RM10,000 setahun, bagi Kerajaan Persekutuan RM100 juta itu kecil, pulangan (hasil kerajaan) yang diperolehi Pulau Pinang pun besar.

“Bagi Kedah jumlah RM100 juta itu sangat besar, jangan ada orang marah pula kerana ini permintaan berdasarkan sejarah dan realiti atau hakikatnya memang begitu, jangan kata Iraq hendak takluk Kuwait pula,” katanya.

Tamat