KUALA LUMPUR: Pendirian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang menyatakan semua undang-undang murtad syariah sebagai diskriminasi melanggar Perkara 8 Perlembagaan adalah mengelirukan dan disalah tafsir.

Oleh itu, Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap badan itu dalam menggunakan tafsiran undang-undang yang tidak konvensional dan memesong dalam mempromosikan hak asasi manusia.

SUHAKAM dalam kenyataan pertengahan penggal baru-baru ini menyatakan, “Dengan ketiadaan sebarang pengecualian yang sah dan klasifikasi rasional, SUHAKAM mendapati bahawa undang-undang murtad negeri di Malaysia adalah satu diskriminasi dan lebih berkemungkinan mengganggu kebebasan beragama umat Islam.”

Mengulas kenyataan itu, MACSA dan PPMM berpendapat, kaedah salah yang digunakan SUHAKAM itu hanya akan memupuk perpecahan yang mendalam dalam masyarakat dan mencemarkan reputasi pergerakan hak asasi manusia di Malaysia.

Menurut kenyataan dikeluarkan Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar serta Pengerusi MACSA, Lukman Sheriff Alias hari ini, mereka menjelaskan bahawa SUHAKAM gagal memahami dualiti undang-undang yang termaktub dan terpakai dalam Perlembagaan khususnya Perkara 8(2), Perkara 8(5)(a) serta butiran 1 senarai II Jadual Ke-9 (Senarai bidangkuasa perundangan Negeri).

“Melalui senarai perundangan inilah semua kesalahan jenayah syariah mendapat sumber kuasanya. Mana-mana undang-undang jenayah syariah yang digubal mana-mana badan perundangan negeri menurut Jadual Ke-9 adalah sah dan berperlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai melanggar Perkara 8 secara diskriminasi.

“Biarpun Melayu/Bumiputra Muslim adalah golongan majoriti di negara ini, umat Islam tertakluk kepada kedua-dua undang-undang sivil dan syariah.

“Ini bermakna orang Islam akan tertakluk kepada kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah terhadap perlakuan yang mana bukan Islam bebas untuk melakukannya tanpa sebarang hukuman. Secara teknikal ini dengan sendirinya adalah satu bentuk diskriminasi berdasarkan agama dan kepercayaan,” katanya.

Oleh itu katanya, tidak difahami bagaimana SUHAKAM boleh menghujahkan mana-mana undang-undang syariah sebagai diskriminasi yang melanggar Perkara 8, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada SUHAKAM sebagai sebuah agensi kerajaan sudah mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara dalam mentafsir perlembagaan.

“SUHAKAM mesti telus sama ada ia sudah mentafsir perlembagaan sewenang-wenangnya atau sudah meminta pandangan berwibawa daripada Peguam Negara.

“MACSA dan PPMM menyeru SUHAKAM menegakkan Perlembagaan dalam mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia. Menggunakan kaedah tidak jujur atau lurus untuk mempromosikan hak asasi manusia hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan terhadap SUHAKAM dan pergerakan hak asasi manusia,” katanya.

Tamat