Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sebanyak RM110 juta bagi kempen pembiayaannya yang dinamakan ‘Dana Agromakanan Keluarga Malaysia bersama Agrobank bagi meningkatkan industri agro makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelancaran kempen itu tepat pada masanya kerana ia selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang bertujuan memacu pembangunan dan modenisasi industri agromakanan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Dana Agromakanan Keluarga Malaysia akan disalurkan melalui dua program pembiayaan Agrobank Agromakanan (Penjana) iaitu sebuah program pembiayaan usahawan khusus untuk perusahaan mikro dan kumpulan B40 dengan peruntukan dana sebanyak RM50 juta.

“Ia menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun.

“Menerusi program Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA), pembiayaan khusus kepada usahawan tani dalam industri makanan untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan import dengan peruntukan dana sebanyak RM60 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ronald berkata, DPA menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta dengan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun bagi pembiayaan RM10,000 hingga RM5 juta dan 4.75 peratus setahun bagi pembiayaan RM5 juta hingga RM10 juta.

“Sepanjang tempoh kempen, Agrobank akan menawarkan pengecualian fi jaminan untuk kedua-dua dana Agromakanan (Penjana) dan DPA. Kempen ini adalah sah sehingga keseluruhan dana berjumlah RM110 juta tersebut digunakan sepenuhnya atau sehingga 31 Disember 2021.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, beliau bersyukur pihak kerajaan menyenaraikanya menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi, PENJANA 2020 bagi membantu penduduk.

“Melalui peruntukan ada peruntukan tersedia bagi memberi hasil lumayan buat petani dan nelayan dan ianya terbuka kepada semua, namun kita beri keutamaan kepada golongan B40.

“Peruntukan itu termasuk geran isentif, program baja, racun, pukat nelayan, subsidi minyak utk nelayan pantai dan sebagainya,” katanya.

Ia sempena dengan konsep Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Oktober lalu.

Tamat