ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak berhasrat merebut jawatan Naib Presiden pada Muktamar Tahunan PAS yang dijadual berlangsung di Kuala Terengganu pada 6 dan 7 November depan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata demikian selepas terdapat laporan mengatakan namanya tersenarai antara lima calon yang layak bertanding merebut jawatan berkenaan.

“Saya tidak bertanding (jawatan Naib Presiden PAS),” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan senarai calon yang layak bertanding Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan PAS ke-67.

Antara nama yang disenarai layak bertanding jawatan Naib Presiden PAS adalah tiga penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Senator Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah serta Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Muktamar Tahunan PAS kali ini bakal diadakan secara hibrid dengan kehadiran fizikal hanya membabitkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulamak dan Pesuruhjaya PAS Negeri sahaja.

Bagi perwakilan lain, mereka akan berada di negeri masing-masing dan mengikuti muktamar secara maya melalui media sosial rasmi PAS Pusat.

Tiga sayap utama parti itu membabitkan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat dijadual mengadakan perhimpunan agung masing-masing hujung minggu ini.

Muktamar Dewan Ulama dijadual diadakan di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Seremban esok, serentak Muktamar Dewan Pemuda yang berlangsung di sebuah hotel di Port Dickson.

Muktamar Dewan Muslimat pula dijadual diadakan di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, Ahad ini.

Untuk rekod, ini adalah pertama kali PAS mengadakan muktamar tahunannya secara norma baru dengan kehadiran perwakilan hanya membabitkan jumlah tertentu di lokasi muktamar terbabit.

Sumber – Berita Harian

Tamat