“Namun jangan sesekali berhenti usaha menghimpunkan para ulama yang ada sehinggalah berjaya menubuhkan Dewan Ulamak PAS kawasan pada masa akan datang,” itu kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Nawawi Salleh.

Menurutnya penubuhan Dewan-Dewan Ulamak PAS kawasan akan menggambarkan momentum gerak kerja kalangan para ulama dengan lebih tersusun dan berfokus bagi membantu malah membimbing gerak kerja perjuangan Islam di peringkat akar umbi yang lebih dekat bersama masyarakat.

“Dalam menjayakan penubuhan Dewan Ulamak PAS kawasan ini secara menyeluruh memerlukan tenaga yang digemblengkan daripada semua pihak. Maka ulama teras bersama Ulama Pelapis dan Alimat perlu dihimpunkan bersama.

“Saya mengharapkan menjelang tahun 2022 nanti penubuhan Dewan Ulamak PAS kawasan dapat dijayakan semaksimum mungkin di seluruh kawasan-kawasan di Malaysia ini termasuklah di Sabah dan Sarawak,” katanya pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-60 di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Senawang, hari ini.

Menurutnya beliau, usaha penubuhan institusi berkenaan berada di fasa akhir bagi menyempurnakan penubuhan dewan itu di seluruh negara dan perlu digiatkan secara berterusan dan tidak boleh terhenti.

“Semoga dengan tertubuhnya Dewan Ulamak PAS kawasan ini, gerak kerja secara teliti dalam menghimpunkan para asatizah, alim ulama dan para tuan guru di kawasan masing-masing berjaya seterusnya akan membantu kemenangan kepada gerak kerja Islam, insya-Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Tamat