12 maut dalam satu serangan bom kereta menyasarkan orang awam berdekatan lapangan terbang di Aden, ibu negara sementara Yaman, semalam.

Menurut pegawai keselamatan kanan Yaman berkata, punca letupan itu bagaimanapun belum diketahui.

“Terdapat mangsa mengalami kecederaan serius,” katanya.

Letupan itu berlaku hampir tiga minggu selepas enam terbunuh dalam serangan ke atas sebuah kereta yang menyasarkan gabenor Aden, namun terselamat.

Rakaman video menunjukkan individu menarik keluar satu mayat dari sebuah kenderaan yang musnah sepenuhnya, ketika anggota bomba memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.

Pentadbiran Yaman yang mendapat pengiktirafan antarabangsa itu berpindah ke Aden dari ibu negara asal, Sanaa pada tahun 2014, yang dirampas Houthi, kumpulan penentang kerajaan yang disokong Arab Saudi.

Gabungan tentera diketuai Arab Saudi, campur tangan dalam perang Yaman pada tahun 2015. Belum ada mana-mana pihak mendakwa bertanggungjawab ke atas letupan semalam.

Serangan itu mengakibatkan paling banyak nyawa terkorban di kawasan berkenaan sejak Disember tahun lalu, iaitu selepas satu serangan yang menyasarkan anggota Kabinet.

Sekurang-kurangnya 26 orang termasuk tiga anggota Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah terbunuh, manakala ramai yang cedera selepas letupan menggegarkan lapangan terbang ketika menteri turun dari sebuah pesawat.

Semua anggota Kabinet itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan sebahagian daripada mereka mendakwa ia adalah serangan oleh Houthi. –

Tamat