PORT DICKSON: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dinobat sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang baharu bagi sesi 2021-2023.

Timbalannya pula Afnan Hamimi Taib Azamudden, manakala Naib Ketua, Hanapi Zulkifli.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilih DPPM, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga anggota Exco kerajaan Terengganu pada hari terakhir muktamar DPPM kali ke-62 di sini, hari ini.

Pengundian secara e-voting diadakan petang semalam, disertai 636 daripada 709 perwakilan bermula jam 5.30 petang hingga 7.30 malam.

Seramai 90 perwakilan mengundi secara eVoting di lokasi dilangsungkan muktamar di Corus Paradise Resort Port Dickson.

Mohd Nurkhuzaini juga mengumumkan jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap menang tanpa bertanding, masing-masing disandang Dr Riduan Mohd Nor dan Nor Azariza Mohd Alawi.

Pemeriksaan Kira-Kira pula Mohd Ali Rajae dan Shahrir Abu Hassan
Manakala ahli jawatankuasa kerja DPPM sesi 2021-2023 pula didahului Hafez Sabri dengan mendapat 610 undi, Ahmad Nawfal Mahfodz (511 undi), Hanif Haron (483), Mohd Khidhir Izaidin (479), Khairul Nazir Helmi Azhar (470), Wan Abu Bakar Wan Hussin (433).

Selain itu Mohamad Arifiriazul Paijo (425), Abdul Malek Abdul Razak (424), Hilmi Ismail (412), Nurul Amin Hamid (412), Saifuddin Hassan (376) dan Ahmad Bilal Rihudin (354). – HARAKAHDAILY 31/10/21