Kedah sentiasa mengharapkan kerajaan persekutuan dalam peruntukan khas setelah berkorban sebagai periuk nasi negara.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun beberapa permohonan kerajaan negeri Kedah tidak dinyatakan dalam Bajet 2022, beliau berharap agar dapat terus berunding dengan kerajaan Persekutuan dari masa ke masa.

“Walaupun jumlah peruntukan khas yang diberikan kepada negeri Kedah jauh kurang berbanding yang dimohon, saya yakin pintu rundingan akan terus dibuka berkaitan keperluan negeri Kedah untuk peruntukan khas yang lebih tinggi.

“Ini bukan semata-mata kerana Kedah sebuah negeri miskin tetapi bersabit dengan pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau berkata berkata, sebagai penyumbang utama keperluan beras negara sebanyak 43 peratus, negeri ini terpaksa mengekalkan tanah sawah yang ada yang jika ditukar kepada status komersial dan industri, akan memberikan pulangan berlipat kali ganda kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri juga terpaksa mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar, sebahagian besarnya di Hulu Muda bagi kawasan tadahan sumber air untuk kegunaan rakyat Kedah dan Pulau Pinang termasuk pengairan sawah.

“Atas pengorbanan itu, saya berharap untuk dapat terus berunding dengan kerajaan Persekutuan dari masa ke masa walaupun tidak dinyatakan dalam bajet kali ini,” katanya.

Muhammad Sanusi sebelum itu turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas keprihatinan untuk memberikan peruntukan khas RM20 juta khusus untuk negeri-negeri kurang maju, termasuk Kedah.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut berterima kasih atas peruntukan projek mencegah hakisan di Pantai Merdeka di Daerah Kuala Muda dan projek eksplorasi pelancongan sejarah di Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

“Perhatian yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan khususnya MOTAC terhadap aset warisan sejarah yang begitu bernilai di Sungai Batu, saya yakin akan menjadi tarikan baharu peminat dan komuniti penyelidik dari seluruh dunia.

“Selain itu, peruntukan yang tidak secara langsung disalurkan terutama untuk projek-projek menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar seperti jalan kampung dan kemudahan telekomunikasi bawah program Jendela, turut memberi manfaat yang besar kepada rakyat negeri ini,” katanya lagi.

Menurutnya, bantuan-bantuan pemulihan ekonomi yang disalurkan kepada komuniti usahawan kecil, pekebun kecil, penoreh getah dan lain-lain kumpulan berpendapatan rendah, diharap akan dapat membantu mereka yang terbabit segera keluar daripada belenggu kemelesetan pasca pandemik.

Tamat.