“PAS tetap konsisten melapangkan dada mengajak Umno dan Bersatu serta pemegang taruh lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) menerima prinsip perpaduan ini,” itu kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-62.

Menurutnya pemuda PAS memainkan peranan yang besar sebagai sebagai Agen Keharmonian Kaum bagi menghubungkan PAS dengan parti-parti dan NGO bukan Islam, serta terus mempertahan misi ini dan bersedia Memacu Perpaduan dalam ruang lingkup lebih luas.

Menurutnya PAS memainkan peranan penting pertumbuhan pasca Covid-19 bukan hanya dengan merangka pemboleh ubah ekonomi, malah lebih utama ialah membina kerukunan perpaduan rakyat merentas kaum dan agama.

“Namun persoalannya, bagaimana merencana perpaduan dalam kemajmukan bangsa? Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS telah menggagaskan tiga prinsip utama penyatuan rakyat Malaysia.

“Pertama ialah Islam memimpin. Kedua, rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga besar dan ketiga, keadilan untuk semua. Semua prinsip ini diekstrak daripada tujuan penubuhan PAS seperti termaktub pada Fasal 5, Perlembagaan PAS, iaitu; Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah,” katanya ketika di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-62 di Dewan Rembau, Corus Paradise Resort di sini, hari ini.

Menurut beliau berkata, perjuangan PAS jelas, dasar PAS ialah Islam dan seruan PAS ialah Allahu Akbar serta menegaskan bahawa perjuangan PAS tidak apologetik dan pragmatik.

” Pemuda PAS pada tahun ini, mengangkat tema Memacu Perpaduan bagi menzahirkan semangat negarawan dan menjadikan agenda wehdah sebagai faktor kritikal dalam peralihan spektrum politik abad ke-21 yang semakin kompleks dan dinamik.

” Ini kerana Pemuda PAS sedang memberdayakan reformasi negara menuju fasa endemik seterusnya memulihkan ekonomi dan semangat sosial masyarakat berpaksikan pendekatan Islam memimpin,” katanya.

Menurutnya, prinsip dan pendekatan PAS disuluh daripada cahaya al-Quran dan as-Sunnah, manakala keabsahan perjuangan PAS tidak wajar dikompromi dengan kepentingan sempit dan tidak menguntungkan.

Sehubungan itu, katanya misi besar ini mesti bermula dengan keinsafan terhadap kepentingan memupuk perpaduan dalam Islam.

Tamat