Negara Amerika Syarikat (AS) telahpun meluluskan mengizinkan pemberian vaksin Pfizer kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

Menurut sumber, keputusan itu diumumkan semalam, selepas sebuah panel perubatan peringkat tinggi menasihati kerajaan supaya meluluskan pemberian vaksin berkenaan atas alasan faedah diketahui adalah melebihi risiko kesan sampingan sekali gus bakal menyaksikan 28 juta populasi golongan itu menerima imunisasi COVID-19, tidak lama lagi.

“Sebagai seorang ibu dan doktor, saya tahu ada ibu bapa, penjaga, kakitangan sekolah serta kanak-kanak yang menantikan kelulusan ini.

“Pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak akan membantu usaha kita ke arah menikmati kehidupan normal semula,” kata Pemangku Pesuruhjaya Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) AS, Janet Woodcock, dalam satu kenyataan.

Pemberian vaksin itu akan dilaksanakan selepas Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) memanggil sebuah panel bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan klinikal.

Sebelum ini, Pfizer dan rakan kerjasama, BioNTech, mengumumkan Kerajaan AS membeli 50 juta lagi dos vaksin bagi melindungi kanak-kanak, termasuk akhirnya golongan berumur bawah lima tahun.

Melalui hasil satu ujian klinikal membabitkan lebih 2,000 peserta, ia didapati lebih 90 peratus berkesan mencegah penyakit bergejala.

Keselamatan vaksin terbabit juga dikaji membabitkan lebih 3,000 kanak-kanak, dengan belum ada kesan sampingan yang serius dikesan dalam kajian masih berterusan itu.

Bagi kumpulan umur itu, dua dos vaksin diberikan dengan selang tiga minggu membabitkan sebanyak 10 mikrogram – satu per tiga daripada kadar diterima golongan lebih tua.

Menurut CDC sejak pandemik COVID-19 melanda, seramai 8,300 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus itu, dan 146 kematian dilaporkan. – AFP

Tamat