Semua Ahli Parlimen Malaysia , seramai 220 orang, bakal menerima dos penggalak daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk COVID-19 mulai Selasa ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pemberian dos penggalak itu bermula jam 9.30 pagi di Dewan Banquet, Bangunan Parlimen.

Menurutnya, pemberian dos penggalak itu bertujuan memastikan imuniti yang diperolehi selepas menerima dos lengkap dapat dikekalkan untuk tempoh yang optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta.

“Sehubungan itu bagi melindungi ahli Yang Berhormat yang mempunyai tanggungjawab untuk kerap bersama rakyat dan berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“KKM akan memberikan dos penggalak kepada ahli Yang Berhormat bermula esok iaitu Selasa dan tarikh seterusnya akan ditetapkan kelak,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum itu pada 18 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 atau dos penggalak.

Jelasnya, pemberian dos penggalak itu dibuat dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan.

Tambah Ismail Sabri, keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu, seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun dan warga tua dengan komorbiditi.

Tamat