Sektor sawit terpaksa membawa masuk seramai 32,000 pekerja asing, bulan depan selepas berbagai usaha menarik minat anak muda tempatan ke sektor berkenaan dilihat seperti gagal.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Willie Anak Mongin, berkata kebanyakan pekerja asing berkenaan dari Indonesia, diambil bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di sektor berkenaan.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu masih tidak mencukupi dan kerajaan akan terus berusaha menarik minat pekerja di sektor lain yang diberhentikan untuk bekerja di sektor ladang.

“Kelulusan mengenainya hasil rundingan antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Zuraida Kamaruddin dan rakan sejawat dari Indonesia,” katanya selepas merasmikan Pogram Komuniti Projek Tanaman Serai Gunung Menggunakan Pasu Berasaskan Komposit Kenaf di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa di sini, hari ini.

Sebelum ini, pengusaha ladang sawit mendakwa mengalami kerugian apabila buah yang masak tidak dapat dituai kerana ketiadaan pekerja.

Willie berkata, ketika ini hanya tinggal perjanjian persefahaman antara kerajaan kedua-dua negara yang akan dilakukan pada Disember ini.

Menurutnya, masalah pengusaha ladang sawit timbul apabila ramai pekerja asing pulang ke negara asal selepas kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu disebabkan penularan wabak Covid-19.

“Pengusaha ladang sawit kerugian antara 25 hingga 30 peratus selepas buah tidak dapat dikutip,” katanya.

Beliau berkata, urusan kemasukan semula pekerja terbabit, termasuk saringan Covid-19, pasport dan visa kerja akan ditanggung majikan masing-masing.

Mengulas mengenai serai gunung, katanya tanaman itu dapat memberi pendapatan tambahan kepada penduduk golongan B40 kerana boleh menghasilkan 12 produk, temasuk teh dan ubat menguatkan tenaga batin yang dikeluarkan sebuah syarikat Bumiputera tempatan.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah SMK Bukit Jawa untuk memperluaskan tanaman herba di kawasan sekolah. –

Tamat