Sempena sambutan ulang tahun Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang ke-79, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mendahului 63 penerima darjah kebesaran negeri.

Muhammad Sanusi bakal menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) membawa gelaran Datuk Seri pada pengumuman penganugerahan darjah kebesaran itu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim pada Isnin.

Menurut Ammar, Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Diraja Kedah (SSDK) kepada Pengarah Urusan Weststar Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seterusnya, Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) membawa gelaran Datuk Wira kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Asri Hamidin @ Hamidon.

Penerima Darjah Datuk Setia Pahlawan Negeri Kedah (DSPK) membawa gelaran Datuk Pahlawan dikurniakan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Abd Rahman dan Laksamana Muda Rusli Ahmad Panglima (TLDM) Wilayah Dua.

Tiga penerima Darjah Datuk Setia Sultan Sallehuddin (DSSS) membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Juhari Bulat; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Halimaton Shaadiah Saad serta Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Mohd Fauzi Mustaffa.

Antara 15 penerima Darjah Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) membawa gelaran Datuk ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Mohd Yusri Md Daud; Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim; Pesuruhjaya Pas Kedah, Senator Ahmad Yahya serta Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Mohd Fikri Ujang.

Turut menerima anugerah sama, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksana, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syed Yussof Syed Othman @ Syed Ahmad Radzi serta Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat.

Selain itu, tiga penerima Darjah Datuk Setia Pahlawan (DDSP) yang juga membawa gelaran Datuk ialah mantan Pegawai Memerintah Wisma Transit Kuala Lumpur, Brigedier Jeneral Ahmad Faiezzelan Abdul Karim; Penolong Pengarah EIC Cawangan Khas E Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Dr Lim Joo Soon serta Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Edwin Galan Anak Teruki.

Sultan Sallehuddin juga berkenan mengurniakan bintang Setia Mahkota Kedah (SMK) kepada dua penerima, manakala Setia Diraja Kedah (SDK) dianugerahkan kepada 33 penerima.

Baginda turut memperkenankan pelantikan Jaksa Pendamai (JP) kepada dua penerima.

Istiadat penganugerahan darjah dan bintang kebesaran berkenaan akan diadakan pada tahun hadapan, bagaimanapun gelaran yang dianugerahkan berkuat kuasa pada Isnin.

Tamat